KERANA AWAK  

Selasa, April 19, 2011

Kalau nak ikut, memang orang sedih. Orang tak nak bermusuh dengan siapa-siapa lagi-lagi dengan Lan. Tapi apa boleh buat. Lama-kelamaan, orang terima je keadaan dan anggap memang dah takdir macam tu. Cuma, ada sedikit rasa terkilan. Manusia memang suka ingat keburukan orang lain. Kita buat baik berjuta kali, tapi yang buruk sekali tu jugak yang orang akan kenang. Sama je. Mengeji, membenci, macamlah mereka tak pernah buat silap dalam hidup mereka dan macamlah orang yang dikeji dan dibenci tu tak pernah buat baik dalam hidup mereka. Fikir semua tu, orang jadi kecewa.

Tapi, orang malas nak peduli lagi dah. Bagi orang, semua tu dah tak penting. Sebab, orang ada awak. Orang sayang awak. Perkara selain dari awak, dah tak ada makna apa-apa. Buat apa orang peduli? Apa yang orang tahu, tiapkali orang pandang awak, dunia jadi sempurna dan indah. Bagi orang, itu je yang penting.

Orang tak sedar sebenarnya Zal, orang dah jadi sayang sangat-sangat pada awak. Orang dah gantikan dunia ni dengan awak. Apa yang orang peduli, apa yang orang hirau, apa yang ada makna dan kepentingan dalam hidup orang, cuma awak. Awak dan cuma awak. Bukan orang sengaja. Tapi hanya awak kegembiraan dan kebahagiaan yang orang tahu, dan orang tak tahu yang lain selain dari sayang dengan sungguh-sungguh pada satu-satunya kegembiraan dan kebahagiaan yang orang ada dalam dunia ni.



AddThis Social Bookmark Button


KAWAN JADI MUSUH  

Ahad, Februari 13, 2011

Orang pernah janji kat awak takkan sakitkan hati awak lagi. Orang janji takkan buat awak cemburu dengan layan budak lelaki lain. Orang cuba tunaikan janji orang. Orang lepaskan yang lain-lain. 

Lepas orang putus dengan Lan sebelum ni, sebenarnya Lan betul-betul marah. Dia dah berubah terus. Buat orang macam musuh. Sepanjang masa, dia cari sebab nak berkonfrantasi dengan orang. Dia panggil orang penipu, pembelit. Bila orang cuba nak jernihkan keadaan, dia akan tempelak orang cakap tak payah nak berdrama, dia tahu orang ni kaki kelentong. Dekat kelas, depan semua orang dia akan mencemuh orang. Bila orang lalu dia akan bercakap kuat-kuat dengan kawan-kawan panggil orang penipu. 

Memang orang tak salahkan dia. Orang tahu dia marah sebab dia kecewa dengan orang. Memang orang dah lukakan hati dia. Tapi kadang-kadang apa dia buat macam melampau. Saja malukan orang depan budak-budak lain kat sekolah dengan menyelar orang macam-macam. Tapi orang diam je. Walaupun dalam hati rasa sedih. Orang tak ada niat nak menyakitkan hati sesiapa. Dipanggil penipu, pendusta, kaki belit yang suka mainkan perasaan orang adalah sesuatu yang mengguris perasaan. Dulu orang layan dia baik, tapi dia yang selalu tak hargai orang, buat orang makan hati. Bila orang pilih awak, dia salahkan orang sepenuhnya. Sampai anggap orang ni musuh, seolah-olah benci teramat sangat pada orang.

Orangpun tak tahu nak buat apa. Kadang-kadang tuduhan dia melampau. Awal-awalnya orang cuba jugak untuk pulihkan suasana, tapi lepas banyak kali dia tak bagi peluang, orang mengalah. Pernah orang telefon, dia tak nak bercakap dan pasing gagang pada kawan dia. Kemudian dia menjerit-jerit dari belakang cakap orang memang pelakon paling hebat, pandai bermuka-muka dan main ayat. Dia cakap tak payah buang masa telefon dia, dia tak nak dengar orang bercakap. Dia takkan termakan kata-kata orang lagi. Setiap perkataan yang keluar dari mulut orang semuanya sampah. Hmm.

Kehidupan kan Zal. Dapat sesuatu, akan hilang sesuatu. Kalau boleh orang tak nak jadi macam tu. Walaupun bukan bercinta, tapi Lan tetap seorang kawan orang yang hargai dan orang ambil-berat. Tapi orang dah buat pilihan. Nak tak nak, orang kena terima. Demi awak, seorang teman yang rapat dah berubah menjadi musuh dalam hidup orang.


AddThis Social Bookmark Button


SAYANGLAH!  

Perasaan orang kan Zal, tiapkali awak ada kat kampung dengan awak tak ada, berbeza. Macam orang duduk kat dua dunia yang berlainan. Entah nak terangkan macam mana. Tapi hati orang boleh tahu. Kalau awak ada atau tak ada. Aura awak, orang boleh rasa. Heh. Perkataan aura tu orang cedok dari dalam komik. Banyak baca komik kungfu hong kong masa tu.

Hobi orang tiapkali awak ada kat kampung, menghendap awak lalu tepi rumah. Orang akan meniarap kat katil mengintai dari jendela perhatikan awak. Tak pernah jemu pandang. Kalau boleh setiap saat orang nak rakam dalam ingatan. Kadang-kadang awak toleh ke arah orang, buat orang tersengih-sengih sendiri. Dalam hati orang rasa berdebar-debar. Getaran yang orang rasa macam pertama kali orang sedar orang dah terpikat pada awak.

Kadang-kadang, orang keluar dengan kakak orang. Tak, bukan kakak yang suka marah-marah tak bagi awak cakap dengan orang tu. Kakak yang satu lagi. Masa nak balik, nampak seseorang tengah berjalan pantas. Rambut panjang mengurai, pakai kain. Kakak orang pandang je perhati. Bila awak melintasi kakak orang cakap pada orang, "Huh, ingatkan perempuan mana semangat sangat berjalan. Patutlah ganas semacam." Orang tersengih-sengih je dengar. Sambil-sambil perhati awak terus melangkah dengan t-shirt dan kain pelikat.

Rambut awak dah makin panjang, Zal. Saja orang suka, suruh awak potong rambut. Tapi awak cakap mana boleh potong. Kalau potong, nanti tak rasa macam diri sendiri. Rambut adalah jiwa, awak cakap. Orang jelir je kat awak. Tabiat orang, suka jelir lidah. Macam-macamlah awak. Yalah tu. Tapi sebenarnya, orang suka je rambut awak panjang. Lurus hitam, cantik. Saja orang nak mengada suruh potong sebab orang tahu memang awak takkan potong. Awak sayang gila rambut awak.

Tapi beberapa hari lepas tu, bila orang tengok awak, nampak macam lain. Rambut awak dah pendek sikit. Awak dah potong. Diam-diam je. Orang hairan kenapa tiba-tiba awak nak potong rambut. Orang tahu awak memang sayang gila kat rambut awak tu, jiwa awak. Pelik. Awak mimpi ke? Tapi bila orang tanya awak cakap, sebab orang suruh. Huhu. Awak potong rambut rambut awak sebab orang, Zal? Sumpah, tak pernah orang terfikir awak sanggup buat macam tu. Rasa macam terharu pulak. Saynglah kat awak, Zal!


AddThis Social Bookmark Button


DUNIA  

Ke manapun awak pergi, sampai masa tertentu awak akan balik ke kampung. Awak cakap, awak balik semata-mata sebab orang. Masa tu orang anggap ayat awak tu biasa je. Tak terlintas di fikiran orang kalau sebenarnya awak dah buat kenyataan seolah-olah orang ni 'rumah' awak.

Bila awak balik, orang jadi rajin keluar ke pasar minggu. Duduk kampung, apa sangat modal yang ada untuk keluar malam-malam. Nampak awak berdiri pakai t-shirt kelabu dengan rambut cecah bahu kat seberang sana, ahh.. Kalaulah orang boleh zahirkan perasaan orang. Macam penadol soluber yang diletakkan ke dalam air. Macam marjerin yang diletakkan di atas kuali panas. Cair. Dan nikmatnya macam meneguk air sejuk dalam panas terik. Sungguh-sungguh orang tak boleh kawal hati orang daripada melayang-layang keasyikan. Tak kira dah berapa banyak kali pun orang tengok awak, setiap kalinya tetap rasa macam pertama kali. Tapi malam tu kita tak jumpa. Sekadar pandang-pandang. Awak nampak macam ada hal, tak lama kat situ awak balik.

Malam yang lainnya, orang keluar lagi. Kebetulan awak jalan di depan orang. Awak pakai t-shirt warna hitam, jalan terus tak pandang kiri-kanan. Orang ikut belakang awak. Orang cuba nak panggil tapi tak terkeluar suara. Mungkin orang memang macam tu. Orang tak tahu macam mana nak memanggil, meminta, mengeluarkan suara atau bunyi supaya orang lain menyedari kehadiran orang. Lagipun, kelakar bila orang fikir orang sebenarnya tak pernah panggil nama awak. Orang hanya sebut 'awak' je.

Orang terus ikut awak dari belakang. Kemudian awak membelok, dan orang nampak awak pergi ke pondok telefon menelefon seseorang. Orang nampak awak bercakap. Jelasnya bukan dengan orang. Tak tahu apa perasaan orang masa tu. Lain macam. Mood orang untuk berjumpa jadi pudar. Terus orang beredar dari situ. Berjalan perlahan-lahan untuk balik rumah. Tapi dalam berjalan terasa macam ada seseorang mengekori orang. Bila orang berpaling, orang tengok awak.

Perlahan-lahan awak datang mendekati orang. Awak senyum. Waktu tu orang cuma terpaku. Kemudian kita jalan sama-sama, duduk dekat padang rumput seberang depan rumah orang, saling menghadap. Dah lama tak jumpa awak, orang berbual, bercerita. Sebab orang ni mulut banyak, orang pun dah tak ingat entah apa-apa yang orang cerita. Kadang-kadang kena gigit semut pun orang cerita. Macam budak-budak.

Sepanjang orang bercerita, awak pandang je orang dalam-dalam. Lama-lama orang terdiam. Awak tanya orang, orang ada apa-apa nak tanya pada awak tak. Orang sekadar menggeleng. Tak tahu kenapa orang tak bangkitkan pasal insiden nampak awak telefon seseorang. Mungkin sebab orang bukan macam tu. Bukan jenis yang suka menyoal, sibuk bertanya. Awak lebih tahu apa yang awak buat. Tak perlu untuk orang tanya-tanya. 

Awak cakap awak tahu orang ikut belakang awak tadi. Kemudian awak cakap awak rasa mungkin orang ada sesuatu yang nak ditanya pada awak. Orang cakap tak ada apa-apa pun. Awak diam sekejap. Lepas tu awak peluk tubuh awak. Sambil pandang orang awak bagitau tadi awak telefon mak awak di Kuantan. Oh. Heh. Orang senyum.

Entah kenapa orang rasa macam seronok je lepas awak bagitau macam tu. Senyum orang makin melebar. Awakpun ikut tersenyum. Apa yang pasti, orang rasa paling tenang bila dekat awak. Tempat yang paling indah dan nyaman dalam dunia ni bagi orang adalah awak. Langit pun cantik, bintang-bintang, bulan. Tak pernah orang rasa damai dan bahagia macam yang orang rasa bila bersama awak.

Berbual-bual dengan awak, tak terasa masa berlalu. Walaupun jarang jumpa, tapi tiap saat yang orang habiskan dengan awak cukup untuk buat orang bahagia lama. Jadi bekal buat teman bila awak tak ada. Tiapkali awak pandang orang, awak senyum. Tak terkata gembiranya perasaan orang. Buat orang jadi lupa segala-galanya. Bagi orang, cuma awak je yang penting dalam hidup orang. Satu-satunya. Orang tak ada apa-apa lagi dalam dunia ni selain itu. Apa yang buat orang teruja, seronok, bahagia. Satu-satunya yang buat hidup orang rasa bermakna dan indah.

Bila awak senyum dan cakap awak sayang orang, rindukan orang, orang nampak mata awak macam bersinar-sinar. Awak cakap walaupun tak ada depan mata tapi awak selalu teringatkan orang. Kadang-kadang sampai tak ada selera nak makan. Orang sengih dan tergelak kecil. Entahlah, orang rasa kelakar. Macam awak saja nak bergurau. Orangpun selalu ingat awak tapi tak pernah sampai tak ada selera nak makan. Jadi orang anggap apa yang awak cakap sebagai bersenda semata-mata.

Dalam duduk berbual dengan awak, sekali-sekala kita diam tengok pemandangan. Dari kawasan rumah orang, sayup-sayup boleh dengar bunyi ombak. Mungkin sebab tu tiapkali ingat awak orang membayangkan laut, pantai. Rasa sinonim. Lagipun apa yang orang rasa di sisi awak macam tu lah. Seolah-olah dibuai deru ombak, dibelai angin nyaman. Orang tahu bunyinya macam jiwang, sentimental, tapi orang cuma cakap benda sebenar yang orang rasa dalam diri orang. Orang tak pernah saja nak susun ayat nak bagi  bunyi sedap, nak puitis buat madah pujangga segala. Telus dan terus. Orang cakap apa yang orang rasa.

Tanpa orang sedar sebenarnya orang dah bertambah-tambah sayang pada awak. Seikhlas hati orang. Bukan naluri remaja nak mencuba-cuba nak bercinta. Malah orang tak pernah sebut pasal cinta pun. Perkataan cinta tu bukan untuk disebut sebarangan. Dengan umur orang yang baru 15 tahun, tak sampai di bibir orang lagi nak sebut perkataan tu. Apa yang orang rasa dalam hati orang, biar Tuhan je yang tahu. Memang waktu tu orang sedar cuma Tuhan yang lebih mengerti hati kita. Manusia, mereka lebih pandai bercakap. Berpura-pura faham dan peduli tapi sebenarnya mereka tak tahu apa-apa.

Mungkin jugak masa tu orang dah makin sinis dengan manusia lain, dengan dunia. Entahlah. Mungkin orang jemu. Gelak-tawa, teman-teman, perhatian, apa makna semua tu? Dalam segala kemeriahan dan keceriaan yang ada, berapa kerat wujud insan yang betul-betul kenal hati kita, yang betul-betul menghargai diri kita? Bila kita susah, kita sakit, siapa sangat yang hirau. Orang rasa orang sebaik-baik manusia bila bergaul dengan orang lain. Tak pernah berkasar, tak pernah mengganggu, tak pernah buat jahat pada sesiapa. Orang tak pernah teruk pada orang lain tapi bila orang ada masalah peribadi, buat silap tanpa niat, semua orang kutuk dan keji orang. Sebab orang nampak sopan dan baik, lebih-lebih orang sekeliling menghukum. Ada budak yang mencebik depan-depan orang, harapkan tudung je yang elok. Ada yang cakap nak heret dalam semak dan.. Hmm. Tapi lantak dia orang nak cakap apapun. Cukuplah orang sedar tak ada makna pun keseronokan dan keceriaan yang semuanya bersifat luaran.

Orang padam semua tu. Di depan orang, ada awak. Awak yang setia masa orang susah. Awak yang buat orang rasa kuat masa orang lemah. Awak yang tak pernah menghukum dan buat orang rasa seolah-olah orang ni manusia paling suci dan comel dalam dunia ni. Awak yang buat orang ada sebab untuk teruja buka mata bangun tidur hari-hari. Orang tak perlukan lagi benda lain. Kalaupun orang masih mentah untuk tahu apa tu cinta sebenar macam orang lain cakap, tapi paling tidak orang tahu orang betul-betul sayang awak.

Dan awak tersenyum. Terus dunia lenyap dari mata. Tinggal awak. Hanya awak.


AddThis Social Bookmark Button


MUZIUM