LEBIH DARI ITU  

Rabu, Jun 09, 2010

Lebih banyak masa berlalu, lebih lagi orang rasa suka pada awak. Entahlah. Orang suka segala-galanya. Walaupun makin ketara awak cemburu gila, sikit pun orang tak rasa terjejas malah orang nampak semua tu comel. Kadang-kadang, kerana awak terlalu bebas, buat orang bosan bila awak sibuk ke sana-ke mari teroka pengalaman, tapi di sebaliknya, itupun orang suka. Awak berdikari, ikut jiwa awak, ikut naluri awak. Orang tak boleh nak kawal langsung. 

Bila orang fikir-fikir, mungkin sebab tu jugak orang jadi melekat. Sebab, awak mencabar. Heh. Mungkin itu jugak yang awak rasa. Orang ingat awak pernah cakap orang degil, sampai kadang-kadang awak naik geram. Tapi kemudian awak tambah, sebab orang degil jugaklah yang awak suka. Orang tergelak. Kelakar sebenarnya, sebab antara kita awaklah yang lebih banyak berleter. Bukan orang leterkan awak, tapi awak yang suka leterkan orang. Bila awak berleter orang cakap, "Awak ni suka berleter betullah." Awak akan buat muka geram, tapi kemudiannya mesti kita sama-sama tergelak. Hakikatnya orang tak kisah dengan semua sikap awak. Setiap satu orang boleh terima. Apa yang orang lain tak tahu dengan hanya melihat zahir awak. Siapa yang nak terfikir, sebenarnya awak cukup jaga orang, selalu leterkan orang. Macam orang tua. Macam abang. Malah kadang-kadang, macam ayah. Itu yang best. Awak kawan, awak kekasih, awak abang. Orang bahagia sangat.

Sekali lagi cuti sekolah, orang pergi bercuti dengan keluarga lagi. Orang mengaku memori orang agak bercampur-aduk, tak ikut turutan, tapi yang penting orang ingat semua tu. Betapa orang rindu sangat kat awak, tiap saat asyik fikirkan awak. Masa mandi pun, otak orang penuh dengan "Zal, Zal, Zal, Zal...." Orang hembus nafas kat cermin, kemudian orang tulis nama awak. Nama awak dan nama orang, nama kita. 'Zal & Sha'. Bila orang keluar dari bilik mandi, masa kat hotel tu, kakak orang kecoh-kecoh. Kakak yang selalu letak bila awak telefon tu. Rupa-rupanya orang lupa nak padam tulisan kat cermin tu. Dia bising, mengadu kat mak. Dengki betul. Kuat report. Hal macam tu pun nak buat laporan. Orang buat tak tahu je. Suka hati dialah.

Sepanjang masa, orang rindu sangat kat awak. Orang tahu memang teruk, tapi hati orang lebih meronta nak habiskan masa dengan awak daripada keluarga sendiri. Tanpa sedar sebenarnya, hubungan orang dengan awak dah jadi lebih mendalam daripada hubungan orang dengan keluarga. Orang lebih rasa terikat dengan awak daripada mereka. Bukan orang sengaja, cuma, bila orang sedih, orang kongsi dengan awak, awak yang hiburkan orang. Awak tempat orang mengadu. Kehadiran awak macam memenuhi apa yang kosong dalam hidup orang. Pertalian yang longgar, diambil-alih oleh kewujudan awak. Jadi, ikhlas seikhlas-ikhlasnya, memang orang sayang awak dari hati orang. 

Ada ketikanya, bila hati orang terguris sangat, orang menangis. Orang tak boleh tunjukkan pada sesiapa. Apa yang orang ada dalam waktu macam tu, cuma awak. Orang panggil nama awak. Penawar orang. Orang tahu orang tak sempurna, banyak buat salah. Kadang-kadang, hati orang menjerit, merayu, dahlah jangan hukum orang, orang mintak maaf, mintak ampun, orang tak sengaja. Tapi memang payah bila orang yang di sekeliling kita dari azali tak mengerti isi hati kita. Jujurnya, orang benci bercakap pasal tu. Benda-benda yang buat orang rasa sebenarnya sia-sia berkongsi perasaan dengan sesiapa. Dunia dan wayang mereka. Apa gunanya? Apa saja yang kita cakap, akan dibantah. Mereka lebih tahu, mereka lebih arif. Segala-galanya akan dinafi. Sebab tu, memang tak ada gunanya. Orang belajar diam. Orang belajar pendam. Biar mereka tengok apa yang mereka ingin tengok. Di dunia yang sempurna, kesedihan dan kesunyian itu tak wujud. Orang benci. Bodoh untuk berdebat tentang kesedihan seolah-olah perlu membuktikan kepada orang lain kesedihan kita. Seolah-olah semuanya tertakluk kepada mereka samaada kita boleh terluka atau tak. Kebenarannya, mereka tak peduli tentang kita, mereka mahu mendengar hanya untuk mencari kelemahan, kemudian membangkang, kerana dari awal mereka betul dan kita salah. Sia-sia.

Memang orang masih cukup mentah, masih cukup muda. Umur orang belum genap 15 tahun pun. Tapi apa yang berlaku sepanjang usia mentah orang tu buat orang mengerti permainan dunia. Apa guna puji-pujian? Apa makna bertungkus-lumus cuba ikut resam dunia, cuba jadi 'masyarakat contoh' yang memuaskan kehendak orang lain, kalau di akhirnya bila kita jatuh, kita dikeji-keji, dipijak-pijak? Seumur hidup, orang jadi budak baik, budak sopan, budak yang dipuji-puji, tapi hanya dengan satu kesilapan, orang dikutuk tanpa belas kasihan. Macam mana orang boleh lupa? Cara mereka pandang orang seolah-olah orang ni cukup hina, cukup kotor. Gelak-ketawa yang mempersendakan orang. Pesanan mak ayah supaya anak mereka jangan rapat dengan orang, jangan ikut perangai orang. Sebenarnya, apa yang orang dah buat? Orang cuma budak remaja yang ketakutan nak balik rumah dan kalau mereka tahu kehidupan orang, mereka patut tahu kenapa orang cukup takut. Tapi, mereka peduli ke? Orang pernah dihalau, ditolak dengan penyapu setaraf dengan sampah oleh ayah sendiri, pernah mereka hirau? Perasaan orang, hati orang, penting ke pada mereka? Orang hidup dalam khayalan. Fikir orang ada ramai kawan, ramai teman. Tapi sebenarnya mereka tak pernah kenal siapa diri orang. Memang orang benci. Tiba-tiba orang dilabel buruk, dikutuk sana-sini. Tak ada apa yang seronok langsung bila dengar orang bercakap buruk pasal diri kita kat sana-sini. Tak adil, orang terlalu muda. Tak terfikir ke bila meletakkan tekanan begitu berat pada budak yang setahun jagung, apa kesannya nanti pada dia?

Orang belajar dari pengalaman. Mungkin agak ekstrim, tapi orang rasa dah tak penting untuk hiraukan pandangan masyarakat. Dah tak penting untuk hidup dikelilingi kawan-kawan, riang-ria. Ya, orang belum genap 15 tahun, tapi pemikiran orang, jiwa orang, berbeza dari kebanyakan mereka yang sebaya. Orang tahu, kalau orang tak cukup kuat untuk lindungi diri orang, tak ada siapa yang akan lindungi orang. Dah tak penting untuk dengar kata-kata madah pujangga tentang persahabatan, tentang kasih-sayang. Sesungguhnya, itu semua bukan ukuran. Yang penting sejauh mana kita sanggup bersama bersusah-payah waktu suka dan duka dengan orang yang kita panggil kawan. Semua tu tak bersangkut-paut langsung dengan perkataan.

Zal, sepanjang orang kawan dengan awak, ramai kutuk awak, cakap awak jahat, awak teruk, awak perlu dijauhi. Tapi mereka tak sedar, bila orang kesusahan, yang setia kat sisi orang jadi semangat orang ialah awak, bukan mereka. Tak penting awak rock, rambut awak panjang, awak sekolah tak habis, awak kaki gaduh, yang penting awak bantu orang bangun, awak ubat sakit orang, awak tak putus harapan pada orang, awak setia temankan orang. Mereka tak sedar semua tu. Apa yang mereka tahu, orang cuma budak-budak mentah, fikiran belum matang, tak tahu menilai sebab tu orang tak nampak kekurangan awak dan sanggup bersama dengan awak sedangkan semuanya lebih dari tu. Kenapa orang tak kisah dengan segala kekurangan yang ada pada awak sebab awak dah berikan sesuatu yang melebihi keperluan fizikal. Cara layanan awak tak pernah berubah walaupun orang buat salah malah yang terluka dengan tindak-tanduk orang adalah awak tapi awak sabar dan maafkan semuanya. Awak tak pernah buat orang rasa orang teruk, buruk, malah awak buat macam orang tak pernah lakukan apa-apa kesilapan. Awak hiburkan hati orang, awak buat orang jadi kuat. Kalau awak tak ada, apa yang akan jadi? Kenapa orang tak peduli dengan penghinaan, dengan kesunyian, dengan masalah yang melanda di sekeliling, sebab orang ada awak. Orang ada awak yang akan ceriakan orang, yang akan buat semuanya jadi mudah, yang akan pulihkan apa yang terjejas. Atas semua tu, kenapa orang nak peduli tentang rambut awak, tentang latar-belakang awak? Awak ada kat sisi orang dalam saat-saat yang melukakan orang, buat orang rasa nak terus hidup atas dunia ni dan mereka cuma bercakap pasal awak tak cukup bagus sebab rambut awak panjang, awak sekolah tak habis, awak samseng. Orang ke yang mentah dan kebudak-budakan?



AddThis Social Bookmark Button


0 suara: to “ LEBIH DARI ITU

MUZIUM