HUKUMAN
Sabtu, Oktober 10, 2009
Orang tahu orang dah buat silap. Tapi, kesilapan orang tak sebesar akibat yang terpaksa orang tanggung. Suasana macam tu sangat melemaskan. Dalam sekelip mata, orang terus dipandang jahat dan hina. Sekian lama orang jadi budak baik, tak pernah menyusahkan orang, tak pernah menyakitkan orang, patuh pada segala adab dan adat tapi dengan satu kesalahan, terus orang dikecam, dikeji tanpa ihsan. Sungguh, manusia memang tak berhati-perut.
Macam-macam cemuhan yang orang terima. Orang ni perempuan perangai tak elok. Orang ni perempuan murahan. Petik jari boleh diangkut ke sana-sini. Boleh dibawa masuk bilik. Orang juga dicop anak orang kaya yang mengada-ngada tak reti bersyukur padahal orang bukan anak orang kaya pun. Cerita yang paling kelakar orang dengar, orang bergaduh dengan mak nak kasut sekolah baru tapi mak orang tak nak belikan jadi orang pun lari dari rumah sebab marah mak tak nak beli kasut sekolah baru. Apa yang lebih kelakar, ada juga orang nak percaya cerita macam tu.
Orang rasa rimas dengan keadaan yang tercetus. Setiap mata menghakimi dan menghukum orang, membuat kesimpulan sesuka hati. Kat rumah juga orang rasa sangat tak selesa. Semua orang tengok orang dengan pandangan pelik macam tak kenal siapa orang. Sikap masing-masing seolah-olah baru pertama kali jumpa orang. Rimas dan lemas sangat-sangat. Tak kenal ke diri orang? Ah, tapi, hakikatnya, memang tak ada yang kenal diri orang.
Apalah maknanya semua yang ada kalau tak ada yang kenal hati kita. Tak ada makna hidup bersama sekian lama, baik jelik perangai disaksi depan mata tapi tak mengerti hati budi. Memang tak ada makna. Apa yang terjadi buat orang tertanya, apa makna selama ni orang menjadi sebahagian dari masyarakat memenuhi segala tuntutan manusia lain dan menganggap diri sebagai kawan kepada ramai orang lalu cuba berbaik-baik menjaga hati setiap darinya sedangkan mereka langsung tak kenal hati budi orang yang sebenar. Sungguh sia-sia.
Orang-orang yang orang panggil kawan yang kenal orang dari kecil boleh menggeleng kepala terkejut kerana tak sangka betapa teruknya perangai orang. Mereka cakap, 'Nampak' baik selama ni, tak sangka betul. Ternyata memang tak ada makna pun kenal lama, saksi dengan mata segala kebaikan. Manusia lebih suka dengar cakap orang lain dan ikut saja pandangan masyarakat walaupun selama ni cuma tengok yang baik-baik pada diri seseorang.
Orang rasa kecewa sendiri. Tapi tak apa lah. Mereka orang luar. Apa yang lebih pahit bagi orang ialah rumah tempat berlindung pun rasa macam penjara. Kata-kata mak orang masa tu buat orang rasa macam najis yang sangat jijik. Orang macam nak meraung nak jerit pada semua orang. Tolonglah jangan sampai macam tu. Orang cuma manusia biasa yang tak lari dari kesilapan dan orang baru 14 tahun! Tak adil lah hanya kerana apa yang berlaku taraf orang terus jatuh ke tahap pelacur.
Tapi, apa yang boleh orang buat? Masyarakat tak nak berlembut dengan orang. Semua orang keras, tak bagi peluang. Cerita yang secupak jadi segantang. Sampai habis kisah-kisah biasa dari dulu turut dijaja jadi macam-macam. Selama ni orang suka ambil angin berjalan malam tak ada sesiapa kisah tiba-tiba diungkit dan dikaitkan untuk modal buat mengata orang ni berperangai liar. Kalau itu bukan melampau, nak cakap apa lagi? Sikap orang yang pendiam, suka menyendiri dan selalu pakai baju hitam pun nak digembar-gembur malah ada yang terus label orang ni gila, sakit jiwa. Kalau itu bukan kejam, apa lagi?
Ceritakan balik semua ni memang tak seronok. Tak selesa, benci. Pergolakan sebelum hidup masuk ke fasa baru. Sungguh, benci! Macam dalam wayang. Mak orang bawa jumpa doktor. Konon-konon doktor tu mahu mengkaunselingkan orang. Ah, tak boleh lah. Orang tetap rasa nak cakap Setan jugak. Dia tanya kenapa orang lari dari rumah. Rimas! Orang bukannya lari dari rumah. Orang keluar jumpa kawan lelaki tapi terlewat nak balik lepas tu orang lain kecoh macam nak buru nak tangkap orang dan naluri hati bila dah orang lain buru, orang lari. Ceritanya mudah saja. Kena kejar, lari. Tak ada unsur kerohanian, misteri, psikologi, saintifik. Bukan kisah drama dalam TV.
Tapi, cakap banyak pun tak guna. Dah orang lain nak percaya ini kisah drama macam dalam TV, orang layankan saja. Jadi orang pun jawab macam yang sepatutnya dijawab dalam TV. Tekanan perasaan, emosi terganggu kat rumah, tak tahan sikap panas baran ayah dan bla bla bla. Memang semua tu benar tapi kalau betul orang nak lari dari rumah sebab tu, tak payah tunggu sampai umur 14 tahun, dari kecil umur 5, 6 tahun orang dah lari.
Kecil-kecil orang dah biasa ketakutan sampai terkencing dalam seluar gara-gara ayah orang. Setakat menangis rasa macam nak mati terus dah jadi adat dari azali. Orang pernah lari sampai keliling kampung dikejar ayah orang sambil meraung-raung cuba selamatkan diri kemudian disebat dengan paip getah bertalu-talu. Apa yang tak pernah orang rasa? Rotan, tali pinggang, penyapu, ditampar disepak berulang kali. Anak Kapten, dibesarkan dengan 'disiplin'. Bukannya orang kat sekeliling tak tahu. Tiapkali ayah orang mengamuk, suara lantang mengherdik boleh didengar sampai selang 5, 6 buah rumah. Kalau orang yang dengar dari jauh pun boleh rasa gerun, bayangkan anak-anak yang di dalam rumah. Malah belum lagi angkat suara, jegil mata yang tajam merah menyala dah cukup untuk buat sesiapa menggigil lutut.
Tapi tu semua dah jadi mainan harian. Tak boleh silap, tak boleh salah. Lelaki adalah raja. Lelaki berkuasa. Isteri dan anak-anak harus patuh pada perintah tanpa soal. Isteri dan anak-anak harus ikut segala kehendak tanpa bersuara. Diktator berhati keras yang memegang kuasa veto. Siapa berani melawan, rasalah akibatnya. Jangankan kesalahan besar, silap kecil yang tak disengajakan boleh berakhir dengan kerusi meja terbalik, barang-barang habis terhempas, kaca berderai pecah. Cakap pasal kehidupan mencabar, itu yang perlu orang hadapi sehari-hari, Zal. Tapi orang dah biasa sangat, dah jadi lali. Tak kuasa nak menyusahkan diri nak lari dari rumah sebab semua tu.
Orang bukannya bodoh, bukan budak-budak sentimental nak layan perasaan konon nak bebaskan diri lari dari rumah untuk cari 'bahagia'. Buat apa orang nak susah-payah? Lagi berfaedah orang duduk rumah tengok TV, lepak-lepak kat bilik dengar radio. Kalau tak bahagia pun, sekurang-kurangnya selesa. Bodoh je dah la tak bahagia, nak menyusahkan diri pulak lari dari rumah yang selesa. Tak berbaloi. Lagi pulak orang masih nak sekolah, masih nak jadi manusia berpendidikan yang suatu hari akan berkerjaya, berduit. Apa sebab orang nak korbankan masa depan orang, nak menyusahkan diri kerana rasa tak bahagia? Malah sebab tu lagi lah orang patut nak hidup selesa nak gunakan apa yang ada untuk kejar masa depan orang. Tak perlu nak rugikan diri sendiri.
Tapi sebab orang dah anggap macam tu, orang ikut arus je la. Doktor yang dewasa lagi bijaksana pun memainkan peranan memberi kaunseling pada orang menyampaikan isi-isi yang orang dah boleh fikir sejak orang sekolah rendah. Orang pun layan saja main peranan sebagai remaja bermasalah yang tertekan. Buat muka sedih, ceritakan masalah, angguk-angguk mengiyakan nasihat. Kalau orang nafi pun cakap orang sebenarnya jauh lebih bijak dan matang dari apa yang orang lain anggap, tak jadi apa. Lebih baik orang ikut saja berlagak macam yang orang lain fikir.
Kemudiannya desas-desus orang dengar, kisah orang dibawa jumpa doktor jadi kisah orang dibawa mendapatkan rawatan kerana orang dah 'diapa-apakan' oleh 'S'. Kalau manusia dah pandang negatif, segala benda pun akan dianggap negatif. Sungguh orang tak sangka. Lesap habis apa yang baik pada diri orang. Sekarang segala-galanya dari hujung rambut ke hujung kaki pada diri orang adalah buruk dan kotor. Dahsyatnya hukuman yang dijatuhkan pada orang dengan satu kesilapan.
Waktu tu ada jugak 'kawan' yang konon bertanya nak tahu cerita sebenar, nak dengar luahan orang dengan apa yang berlaku. Rasa bodoh je orang percaya semua tu. Naif je orang bercerita, berkongsi fikir 'kawan' ambil-berat tapi rupa-rupanya orang diketawakan di belakang dan luahan orang jadi bahan lawak yang dijaja-jaja malah dijadikan sumber untuk mengutuk dan memburuk-burukkan lagi diri orang.
Orang rasa lemas sangat. Tak ada tempat orang nak tuju, nak mengadu. Orang tak ada siapa-siapa. Orang tak ada siapa-siapa pun, Zal. Jenuh orang berfikir mahu ingat tempat yang boleh orang bawa hati, cari ketenangan tapi orang tak dapat ingat langsung dan baru orang sedar rupanya orang tak pernah pun ada. Dalam resah, dalam perit, orang cuma boleh fikir awak. Dalam hati, orang sebut nama awak. Orang panggil awak, orang ingat awak. Zal, orang hanya ada awak. Dalam dunia ni, orang hanya ada awak. Orang sayang awak. Orang tak nak hilang awak.
Zal.. Ah, Zal. Kalau awak balik dan dengar cerita tentang apa yang berlaku ni, mesti awak terluka. Zal, maafkan orang.
0 suara: to “ HUKUMAN ”
Catat Ulasan