CINTA PERTAMA  

Rabu, Disember 02, 2009

Dalam saat resah dan sakit, baru orang sedar hanya awak kebahagiaan yang orang ada dalam dunia ni. Baru orang sedar betapa besarnya makna kehadiran awak dalam hidup orang. Apa yang buat orang gembira, ceria, teruja. Hanya awak. Hanya awak yang pernah buat orang rasa betul-betul bahagia dalam hidup orang.

Orang tak tahu apa yang awak akan fikir bila awak dengar cerita tentang apa yang berlaku. Awak masih ada di JB. Rasa tak sanggup nak tengok awak balik kampung kemudian dengar cerita ni dari mulut orang lain. Siapa yang takkan sakit hati kalau dapat tahu buah hati lari ikut lelaki lain habiskan masa semalaman dengan dia waktu kita tak ada? Apa yang akan awak fikir? Orang takut. Orang harap awak tak akan tahu tapi mustahil. Mulut manusia takkan boleh ditutup.


Waktu tu orang sedar perasaan orang terhadap awak. Orang sayang dan kasih, tak sanggup kehilangan tapi orang lebih tak sanggup untuk menipu awak. Orang dah buat silap dengan mengkhianati kepercayaan awak jadi paling tidak yang mampu orang buat ialah mengakui dan hadapi akibatnya. Orang hubungi kawan awak, Mizan. Walaupun macam 'bunuh diri' tapi orang ceritakan pada dia apa yang terjadi dan orang minta dia ceritakan pada awak.  Orang lebih rela macam tu daripada balik-balik awak dapat berita dari orang kampung. Waktu tu dia ada di kampung sebelum balik ke tempat kerja yang sama dengan awak di JB. 


Tak lama lepas tu, awak balik kampung dengan Mizan. Orang hubungi kawan awak. Awak tak ada telefon rumah sebab tu orang telefon dia je. Dia cakap dia dah cerita pada awak. Orang tanya apa reaksi awak. Dia cakap awak tak percaya dan kata dia menipu. Hati orang tersentuh dengar macam tu. Kasihan awak, Zal. Mesti susah untuk terima. Mesti pahit. Semuanya salah orang.


Orang nak jumpa awak. Orang nak mintak maaf dengan awak. Boleh ke awak maafkan? Orang tak tahu. Tak ada siapa yang maafkan kesilapan orang terus kecam orang tanpa simpati walaupun tak ada kena-mengena. Awak pula yang dikhianati, sanggup ke awak maafkan orang? Orang tak dapat nak bayangkan kalau awak juga anggap orang jahat, teruk. Macammana orang nak hadapi pandangan hina daripada orang yang paling orang sayang? Ya Zal, orang cakap  yang paling orang sayang sebab orang sedar orang paling sayang awak dalam dunia ni. Orang bukannya rumit sangat. Orang paling sayang orang yang paling membahagiakan orang. Salah ke?


Dalam pada tu, tiba-tiba dengar khabar angin tentang awak main dadah. Orang tersentap. Umur 16 awak baru berjinak-jinak dengan rokok, tahu-tahu orang bercerita awak main dadah. Takutnya orang dengar. Sekelip mata orang dah lupa tentang segala masalah lain. Orang hanya fikirkan awak, risaukan awak. Orang sayang awak. Kali ni memang sungguh, betul-betul orang memang sayang awak sangat-sangat. Orang resah, bimbang fikir diri awak. Sampai orang jadi serba tak kena. Orang rungsingkan awak lebih dari orang rungsingkan diri sendiri. Tak ada apa yang lebih penting dari kesejahteraan awak. Orang tak nak awak rosak.


Tak pernah orang kenal perasaan resah dan risau macam ni dalam hidup. Pertama kali orang rasa gelisah. Pertama kali orang rasa bimbang. Orang tak dapat tidur. Orang tak sangka. Orang jenis yang payah menangis tapi tanpa orang sedar, dengan mudah air mata orang mengalir sendiri kerana awak. Orang berdoa sepenuh hati minta dilindungi awak, dijauhkan dari segala kejahatan dan kemusnahan. Orang tak sanggup tengok awak musnah. Sayangnya kat awak. Orang baru je sedar tak ada apa yang lebih orang mahukan selain awak tapi orang lebih mahu awak sejahtera dan hidup dengan baik dan kalau ada sesuatu yang sanggup orang dulukan daripada dapat bersama awak ialah lihat awak berjaya dan jadi orang baik-baik. 


Orang bukan alim. Jujur cakap, orang tak pernah jaga solat. Tapi sayang sangat kat awak, hati orang jadi lapang, jadi cerah. Mungkin sebab orang ikhlas. Ikhlas yang buat orang rasa orang tak layak untuk sayang awak kalau hati orang kotor. Risau sangat takut apa-apa jadi kat awak, pertama kali dalam hidup orang buat solat hajat. Basah sejadah orang berdoa minta awak selamat dan dilindungi dalam sujud. Orang harap Tuhan terima doa orang. Tengkuk orang sakit, lama sangat orang sujud tapi orang tahan sebab terlalu sangat orang mahu lindungi awak. Tolonglah, Ya Allah. Lindungi Rizal orang.



Orang cuba tidur tapi masih tak dapat. Awak kat mana? Apa yang berlaku pada awak? Orang risau tak putus-putus. Akhirnya, orang keluar untuk tenangkan diri. Orang harap dapat jumpa awak. Orang bayangkan kalau jumpa awak dengan kawan-kawan dalam keadaan lalok main dadah, sumpah orang akan tarik awak larikan awak. Orang tak peduli kalau dia orang mengamuk cuba apa-apakan orang. Orang akan lindungi orang yang orang sayang walaupun awak sendiri tak nak. Orang akan selamatkan awak. 


Orang merayau tengah malam keseorangan cuba cari kedamaian. Harap-harap udara segar malam dapat pujuk hati orang. Orang lalu tepi rumah nenek awak, berharap ada kelibat awak tapi tak ada. Orang termenung. Hati orang gelisah tak bertepi Orang  terus berjalan tanpa haluan. Dalam tak sedar orang melangkah ke pantai. 


Bunyi ombak menyambut kehadiran orang. Orang rasa terbuai. Orang tengok laut, tenang beralun. Indahnya. Orang tengok langit. Bulan mengambang penuh, cantik. Teringat duduk dengan awak bawah bulan mengambang. Masa dah berlalu lagi rupanya. Begitu sekejap.


Tak ada kata-kata dapat gambarkan sempurnanya pemandangan yang orang lihat malam tu. Laut jadi keemasan dengan pantulan cahaya bulan. Langit yang lapang dengan gemerlap bintang-bintang. Orang duduk peluk tubuh. Orang hayati bunyi ombak. Orang amati alun laut, cahaya bulan. Jiwa orang hanyut, asyik. Waktu tu orang cuma nikmati keindahan yang terbentang dan awak dalam hati orang. Diam-diam orang panjatkan harapan, semoga orang dapat terus bersama awak sampai bila-bila. 

Zal, orang harap kita akan segera bertemu dan terubat resah orang ni. Awak Rizal orang, Zal. Awak Rizal orang.




AddThis Social Bookmark Button


0 suara: to “ CINTA PERTAMA

MUZIUM